Musliat Di Sebalik Kekayaan

18 05 2009
Kita sadar dan kita kena tau bahwasanya
 
Harta kekayaan datang daripada keringat manusia. Harta Qarun sekali pun terkumpul daripada hasil tenaga manusia. Menang loteri juga berpunca daripada duit manusia yang telah ditipu. Justeru semua harta kekayaan di duna ini hasil tenaga kerja manusia.

Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.

Tulang dan otak manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kebejatan dan kerusakan alam ini juga hasil kerja tangan manusia.

Apabila manusia bekerja, dia melaburkan tiga perkara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga perkara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Elektrik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.

Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk – yang dimiliki oleh sesiapa pun tidak dapat tidak berpunca daripada tiga asas ini.

Pak Tani ke sawah, dia membanting tulang, menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi.

Pak Cik Felda bertungkus-lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, memangkas pokok dan memilih buah.

Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa, tenaga dan fikiran.

Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat “di belakang semua kekayaan ialah jenayah”. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran.

Semua manusia yang kaya-raya di dunia mendapat harta kekayaan  hasil daripada merampas – tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Taukeh atau juragan yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Artinya tok peraih membeli dengan harga yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. 

Juragan akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya nilai lebihan hasil daripada tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.

Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sehingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan – orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peluh Pak Tani.

Si pabrik, pembungkus, si pengangkut, si pengiklan dan si Pengecer – semua ini orang tengah yang hidup kaya-raya di atas titik peluh Pak Tani.

Orang-orang tengah ini berlegar-legar memuter-muter perniagaan untuk mendapat keuntungan maksimum. Justeru, pabrik beras jadi kaya, pengedar beras jadi kaya atau pembekal beras jadi kaya.

Jangan terperanjat ada di antara peniaga beras – di bursa saham Wall Street New York atau City of London – tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya-raya berniaga padi dan beras.

Yang terus miskin, Pak Tani. Inilah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis apabila harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Mekanisme yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani digelar “pasaran” atau market – sebenarnya satu pembohongan.

Pasaran ini dikawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri , si pengedar, si pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka.

Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksimum. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.

Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh orang tengah atau lintah darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka buruk si lintah darat ini mereka memanggil diri mereka dengan gelar-gelar yang baik: Ahli perniagaan, usahawan, pemaju, pengimport, pengeksport atau pengedar.

Hakikatnya mereka hidup di atas usaha orang lain.

Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada sang kontraktor atau sang pemaju menjadi kaya-raya. Bukan pula bermakna si pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik mentari membanting tulang.

Apa yang lakukan oleh si pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia  mengimport buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah.

Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si pemaju. Si pemaju sama seperti tok peraih akan menilai masa, tenaga dan fikrah buruh ini dengan nilai yang terendah.

Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si pemaju. Justeru si pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin.

Mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.

Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si pemaju mendapat keuntungan yang maksimum. Rumah atau bangunan yang didirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak.

Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu.

Justeru terbukti si kontraktor dan pemaju jadi kaya-raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang digunakan lagi besar modal yang dapat dikumpulkan.

Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang, maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah.

Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.

Dalam konteks ekonomi kapitalis global, semua negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan.

Hasil dari sistem ini, warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini dinilai dengan rendah, justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.

Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antarabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta.

Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika ditaburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Kenyataan ini bohong.

Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta.

Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka.

Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dan memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh tuan empunya modal atau pabrik. Sebagai buruh pabrik, kita akan terus mendapat gaji yang rendah.

Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.

Seperti Pak Tani di pedesaan yang hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana tok peraih beras dan tuan punya penggiling beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur-galur perjalanan sekampit padi itu.

Pemodal-pemodal antarabangsa di bursa saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mandor yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berterusan. 

Mana mungkin pengedar, sang pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi mereka keuntungan maksimum dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja.


Aksi

Information

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s




%d blogger menyukai ini: