Semua yang wujud dalam alam ini bergerak mengikut hukum alam. Manusia wujud melalui DNA. Bumi ini wujud kerana pertemuan, asakan dan pergumpalan pelbagai bentuk elemen kimia yang terpencar bersepah dalam udara hasil daripada Letupan Besar. Seperti besi berani yang akan terus menghala medannya ke utara, begitu juga hukum hukum alam ini tidak berubah-ubah. Manusia yang memiliki akal akan mencari dan menemui hukum-hukum ini. Penemuan hukum-hakam alam ini menjadikan asas kepada tamadun manusia. Hukum alam ini tidak akan beralih-alih. Hukum-hakam ini berkecuali, tidak memiliki nilai. Nilai baik atau jahat lahir daripada akal manusia. Madame Marie Curie menemui radium dan menemui cahaya X dalam uranium. Dia juga menemui hukum-hakam uranium. Ciri dan watak uranium tidak pernah berubah. Apabila ditemui ciri dan hukum-hakam uranium, maka akal manusia jugalah yang cuba mengubah hukum-hakam ini sehingga melahirkan bom atom. Kajian hukum-hakam algebra dan ilmu bintang oleh al-Khwarizmi di Baitul Hikmah, Baghdad di zaman Khalifah Al-Mamun berkembang hingga ke hari ini. Hukum ilmu bintang ini berkecuali – hanya kuasa imperial Anglo-Amerika yang menggunakan hukum ini untuk kebejatan dengan meletakkan senjata di atas langit. Kapitalisme juga bergerak mengikut hukum-hakam. Hukum pertama kapitalisme ialah: untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Hukum ini tidak akan beralih-alih. Sama ada kapitalis ini Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam – hukum kapitalis tetap sama. Kapitalisme juga bergerak melalui hutang. Sistem kapitalisme akan runtuh jika hutang dan riba tidak wujud. Kepala jahat yang melahirkan hutang dan riba ini ialah bank. Justeru kita wajib memahami bagaimana bank mula bergerak untuk mendapat keuntungan maksimum. Sebelum kemunculan bank – di zaman kapitalisma kaum pedagang – emas adalah tukaran. Justeru, jika kita menyemak Sejarah Melayu, kita akan terbaca ufti yang dibayar kepada Raja Siam berbentuk Bunga Emas. Kita juga terbaca perkataan perak sebagai wang. Jika melawat musium, kita akan akan dapat melihat mata wang lama Alam Melayu – emas dan perak. Para saudagar yang berniaga akan mengupah tukang emas untuk membuat kepingan emas dan perak ini sebagai tukaran membeli-belah. Saudagar akan meninggalkan emas dan perak untuk disimpan ke dalam peti besi tuan kedai. Kepingan emas dan perak ini dijaga rapi. Sebagai tandanya, tuan kedai akan menulis di atas kertas jumlah emas yang tersimpan. Kertas ini cukup berharga. Sesekali si saudagar akan datang melihat emasnya yang tersimpan. Tuan kedai emas melihat bahawa surat yang ditulisnya telah diyakini umum. Keyakinan ini datang kerana tuan kedai bukan hanya menyimpan untuk seorang saudagar tetapi berbelas-belas. Jika ada si saudagar atau sesiapa yang datang untuk melihat emasnya, tuan kedai akan memperlihatkan emas-emas kepunyaan saudagar yang lain. Keyakinan bertambah. Dari sini hukum kapitalisme bergerak lagi. Contohnya, tuan kedai menyimpan 100 keping emas yang dimiliki saudagar Buluh Kasap. Jika disimpan, maka nilainya tidak bertambah. Justeru tuan kedai telah menulis 200 keping kertas untuk Buluh Kasap. Ertinya, ada seratus keping kertas lebih daripada 100 keping emas. Lebihan kertas ni menjadikan modal saudagar Buluh Kasap bertambah satu kali ganda. Kertas yang ditulis oleh tuan kedai ini diuar-uarkan sama dengan nilai emas yang tersimpan dalam peti besi tuan kedai – inilah asal-usul duit kertas atau bank note. Daripada pengalamannya, tuan kedai tahu bahawa para saudagar ini tidak semuanya akan datang serentak untuk melihat emas simpanan masing-masing. Justeru, dia boleh memutarbelitkan jumlah kepingan emas yang disimpan. Hukum keuntungan maksimum sistem kapitalis bergerak lagi. Kali ini tuan kedai bukan lagi mengeluarkan kertas kepada si penyimpan emas sahaja tetapi telah berani menjual kertas ini kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk digunakan sebagai modal. Kertas yang dijual ini pastilah telah melebihi daripada jumlah emas yang tersimpan. Perkara ini tidak diketahui umum kerana tuan kedai menyimpan emasnya secara rashia – konon untuk menjaga kestabilan suasana perniagaan. Tuan kedai emas menjadi kaya dengan menjual kertas kosong yang tidak berasaskan emas. Justeru inilah asal-usul bank dalam sistem kapitalisme. Amat jelas bank bermula dengan pembohongan. Pembohongan ini menjadi kukuh kerana adanya keyakinan daripada orang ramai. Mereka yakin kerana melihat ramai saudagar telah menyimpan emas dengan tuan kedai. Tuan kedai emas ini juga dilihat hebat di kalangan masyarakat kerana memiliki rumah besar, isteri gemuk, makanan sedap, ada babu dan pengawal peribadi. Tuan kedai emas ini akhirnya menjadi pemilik bank. Gejala ini berlaku 500 tahun dahulu. Jika kita membaca karya Shakespeare, kita akan bertemu dengan si Mamat yang bernama Shylock tuan peminjam wang di kota Venice. Shylock ini watak pemilik bank 500 tahun dahulu. Hari ini watak, hukum-hakam dan ciri-ciri seorang pemilik bank tidak pernah berubah. Hutang wajib dibayar. Jika tidak, daging seketul wajib diagihkan. Hari ini, 500 tahun kemudian, asas hukum perbankan tidak pernah berubah tetapi cara pengendalian lebih tersusun. Orang awam selalu bertanya dari mana datangnya wang. Jawabnya: yang mencetak wang ialah bank. Caranya tidak jauh bezanya daripada amalan tuan kedai emas dahulu. Contoh: Ada sebuah bank bernama Bank Buluh Kasap yang memiliki modal sebanyak 100 ringgit. Bank ini mendapat pelanggan 10 orang yang menyimpan 100 ringgit seorang. Ertinya bank ini ada 1100 ringgit. Bank ini kemudian memberi pinjaman kepada 10 pelanggan baru. Setiap pelanggan dipinjamkan 200 ringgit. Lihat silap mata! Dari 100 ringgit modal asal, kini menjadi 2100 ringgit. Bank ini sebenarnya tidak memberikan pinjaman duit tetapi kredit. Tidak ada duit bertukar tangan – ini duit atas angin. Tuan punya bank seperti tuan kedai emas tahu bahawa tidak semua pelanggan akan datang serentak untuk mengeluarkan duit simpanan. Bank memungut bunga dan riba – yang dipanggil untung. Duit bunga ini akan terus dipusingkan untuk dipinjamkan lagi. Ertinya duit dalam sistem ekonomi kapitalis lahir daripada hutang dan bunga. Beginilah yang telah dilakukan oleh semua bank. Inilah caranya bagaimana duit muncul dalam pasaran. Sistem bank dalam ekonomi kapitalis bergerak mengikut hukum ini. Dalam masa yang sama, si peminjam diminta memberi cagaran – amalan ini untuk menjamin keuntungan kepada bank. Jika si pelanggan gagal membayar hutang, maka cagaran akan terlupus. Harus difahami bahawa bank membuat duit bukan melalui cagaran. Bank membuat duit dengan memberi orang berhutang. Cagaran hanya mainan silap mata untuk melahirkan keyakinan. Katakan pada hari Rabu minggu hadapan, semua pelanggan Bank Buluh Kasap ingin mengeluarkan duit – maka tertonggeng dan terkangkang Bank Buluh Kasap! Tidak ada duit sebenarnya dalam bank itu. Yang berpusing-pusing hanya kertas. Tertongeng dan terkangkang inilah yang sedang kita hadapi semenjak September 2008. Bank Northern Rock di Scotland tertonggeng apabila semua penyimpan datang beratur untuk meminta wang simpanan mereka – permulaan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap bank. Orang ramai tidak yakin bahawa duit mereka akan selamat. Apabila orang ramai hilang keyakinan, maka silap mata bank akan kantoi. Orang ramai akan berbondong-bondong datang untuk mengeluarkan duit mereka. Bank yang pandai main silap mata kini tidak dapat melakukan apa-apa melainkan mengaku diri mereka bankrap – inilah yang sedang berlaku sekarang. Selama 30 tahun yang lalu, pelbagai bentuk mainan silap mata telah dilakukan oleh bank. Pemilik-pemilik ban ini telah mempengaruhi para ahli politik untuk melupuskan pelbagai larangan dan rintangan. Mereka memungut riba dan mengumpul harta. Dengan harta kekayaan yang terkumpul hasil daripada memakan riba, para pemilik bank telah memberi sumbangan kepada politikus. Persekongkolan ini cukup intim. Para pemilik bank ini tidak pernah muncul di khalayak umum. Tetapi kepentingan mereka terjamin melalui para politikus yang akan bersuara menjaga kepentingan mereka. Pada 2009, banyak bank telah muflis. Lalu timbul persoalan. Ke mana perginya duit-duit ini? Harta kekayaan tidak hilang, ia hanya bertukar tangan. Duit ringgit milik orang ramai yang tersimpan di bank telah dijadikan modal untuk membuat lebih banyak untung. Keuntungan ini disimpan. Penyimpan duit di bank boleh jatuh muflis, bank boleh diistihar bankrup tetapi tuan empunya bank tidak pernah bankrup. Ada pelangan akan kalah judi di Genting tetapi syarikat Lim Goh Tong sampai kiamat tidak akan bankrup – ini juga hukum sistem kapitalis.
Dimana uwang dunia di sembunyikan?
19 05 2009Kita diberitahu bahawa dunia sedang menghadapi masalah kecairan – artinya tidak ada duit dalam pasaran. Lalu kita bertanya ke mana agaknya segala duit yang terkumpul dalam dunia ini pergi. China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan dan termasuk Malaysia sendiri menyimpan duit-duit ini dalam bentuk kertas dolar Amerika. Wang yang tersimpan ini – menjadi wang simpanan negara – hasil kita berjual-beli dengan Amerika. China dan Jepun negara yang paling banyak menyimpan kertas dolar. Kertas dolar telah dipaksakan ke atas dunia ini oleh kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemaksaan ini melalui dua cara. Pertama, Amerika telah membuat perjanjian 1972-74 dengan keluarga Saud bahawa semua jual-beli minyak wajib menggunakan kertas dolar kerana bahan bakar petroleum diperlukan oleh semua negara dengan Saudi pengeluar utamanya. Sebagai gantinya, kuasa imperial Amerika berjanji akan menjaga keselamatan keluarga Saud daripada dipukul oleh ombak rakyat. Kedua, dengan kekuatan bala tentera. Amerika mendirikan 702 pengkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia ini. Tidak ada negara penjual minyak yang berani menjual minyak tanpa menggunakan kertas dolar. Saddam Hussein cuba mengalihkan kertas dolar sebagai mata wang jual-beli minyak. Jawapannya Saddam digantung mati. Iran sedang berusaha untuk beralih daripada kertas dolar, justeru segala bentuk sekatan sedang dilakukan ke atas Iran. Dari mana kertas dolar ini datang? Kertas dolar hanyalah kertas yang telah dipaksakan nilainya ke atas warga dunia. Ia dipanggil fiat money – nilai yang dipaksa. Tanpa paksaan ini dolar hanyalah kertas yang tidak memiliki apa-apa nilai. Justeru, kertas dolar adalah satu penipuan yang terunggul dalam sistem ekonomi kapitalis. Pada awalnya Amerika Syarikat sebuah negara revolusioner yang berdiri untuk menjaga kepentingan warga. Amerika mengeluarkan duit kertasnya sendiri. Amerika yang merdeka telah membebaskan diri daripada para pemilik bank yang telah lama bersarang di City of London. Tuan-tuan empunya bank merasa mereka kehilangan bumi permata apabila Amerika menjadi bebas dan merdeka. Lalu para pemilik bank menelurkan satu konspirasi untuk memaksa pentadbiran Amerika terus terikat dengan kepentingan mereka. Pada tahun 1913, setelah beberapa kali percubaan gagal, akhirnya para pemilik bank telah berjaya memaksa (atau menipu) Kongres untuk menerima dan meluluskan Akta Federal Reserve 1913. Ramai warga dalam dunia tersilap menyangka bahawa Federal Reserve ini adalah bank milik negara Amerika. Tidak betul. Federal Reserve ini bukan bank milik negara Amerika seperti Bank Negara kita di pinggir Jalan Kuching. Federal Reserve adalah bank swasta yang tuan pemiliknya dirahsiakan. Siapa ahli-ahli lembaga pengarah Federal Reserve ini juga dirahsiakan. Kongres hanya boleh menerima atau menolak dua nama yang akan dicadangkan oleh Federal Reserve. Justeru dunia hanya mengenali nama Alan Greenspan, pengerusi Federal Reserve yang lalu dan Ben Bernanke, pengerusinya yang terkini. Siapa yang lain di belakang tabir Federal Reserve ini tidak akan diketahui umum. Mengikut akta 1913 ini, pentabiran Amerika tidak lagi dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri. Mata wang untuk kegunaan negara Amerika hanya akan dikeluarkan oleh Federal Reserve. Jika kerajaan Amerika memerlukan dolar, maka kerajaan wajib meminjam daripada Federal Reserve – sama ada dengan menjual bond atau meminjam dengan bunga yang ditetapkan. Lihat bagaimana liciknya konspirasi para pemilik bank ini.Para pemilik bank ini mencetak kertas yang dipanggil dolar tanpa apa-apa asas. Kertas dolar ini akan dipinjam oleh kerajaan Amerika daripada Federal Reserve dan akan dibayar kembali dengan bunga. Duit membayar hutang dan riba ini datang daripada tenaga dan titik peluh rakyat Amerika. Melalui kertas kosong, para pemilik bank ini telah mencipta harta karun. Inilah punca yang sedang membawa huru-hara ke atas dunia hari ini. Mungkin ada yang menyangka – perkembangan ini di Amerika, apa sangkut pautnya dengan harga ikan di Pasar ? Sabar dahulu, biar saya terangkan sejelas mungkin. Hari ini perniagan tukaran mata wang dalam dunia ini semuanya diwajibkan menggunakan dolar. Semua simpanan bank-bank negara dalam dunia ini akan bersandarkan dengan kertas dolar. Ia telah dipaksakan oleh sistem kapitalis yang dikepalai oleh pemodal Anglo-Amerika. Para pemilik bank dan kaum pemodal ini telah mendirikan lembaga-lembaga kewangan dunia. Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjadi dua lembaga hitam yang memastikan kertas hijau ini digunakan di seluruh dunia. Setiap negara akan dinilai kekuatan ekonominya bersandarkan dolar. Perniagaan antarabangsa semuanya menggunakan kertas dolar. Barang yang kita ekspot dan barangan yang kita impot semuanya dinilai dengah kertas hijau ini. Justeru, negara kita sendiri akan melihat rebah bangun ekonomi negara kita melalui perbandingan mata uwang dengan kertas dolar. Jika pembaca memahami apa yang saya tulis ini, maka amat jelas kelihatan bahawa umat manusia dalam dunia ini telah diperbodohkan dan ditipu oleh Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF. Lalu kita menyoal diri kita sendiri: kenapa tidak dapat dilakukan sesuatu untuk membebaskan diri daripada sistem kapitalis global ini? Pertama, banyak rakyat Amerika sendiri kurang sedar silap mata dan tipu musliat yang dijalankan oleh Federal Reserve ke atas negara mereka. Rakyat dunia juga tidak sedar akan hal yang sama. Kedua, tidak ada sesiapa yang akan dapat memasuki Rumah Putih yang akan berani membocorkan rahsia ini. Lihat apa terjadi kepada Abraham Lincoln yang menentang para pemilik bank dan Central Bank (nama asal Federal Reserve). Presiden Lincoln yang berperang hampir jatuh muflis telah mencetak Lincoln Greenback Dollar tanpa meminjam daripada Central Bank. Lihat juga apa yang terjadi kepada John F Kennedy kerana cuba membocorkan konspirasi kaum pemodal ini. Ketiga, tidak ada sesiapa yang akan dapat menjadi ahli Kongres atau masuk ke Dewan Senat Amerika dengan agenda menentang Federal Reserve, menentang para pemilik bank dan kaum pemodal ini. Semenjak 1913, pemilik banker ini telah membuat jaringan, kabel dan kumpulan rahsia untuk memastikan kepentingan mereka dijaga oleh para politikus. Hari ini kabel rahsia para pemilik bank ini telah mempengaruhi semua cabang pentabiran di Amerika. Hasilnya, media tidak pernah dan tidak akan melaporkan ke akar umbi secara radikal rancangan jahat para pemilik bank dan kaum pemodal ini. Enam puluh tahun dahulu masih terdapat 86 buah syarikat media yang besar dalam dunia ini. Ketika itu, media cetak masih lagi bergerak bebas. Hari ini yang tinggal hanya enam buah syarikat – ViaCom, General Electric, Disney, NewsCorp, Times Warner dan CBS – yang memiliki pelbagai bentuk media. Syarikat-syarikat media ini pula dimiliki oleh para pemilik bank. Malah jika menyelidik dengan rapi, kita akan menemui bahawa modal-modal ini juga telah meresap masuk ke dalam industri media tempatan kita. Yang menyusun dan merancang semua ini adalah kabel-kabel rahsia seperti Freemason, Bohemian Grove, Bilderberg Group, Skull dan Bones – semuanya terpusat di bawah satu atap yang dikuasai oleh pemodal dan pemilik bank yang sedang merancang untuk memunculkan satu Order Baru Dunia. Di belakang semua ini, nama-nama seperti Rothschild, Rockefeller and Morgan. Mereka ini berkumpul di bawah payung organisasi yang dipanggil Illuminati. Susuk-susuk yang kaya-raya ini tidak pernah muncul menunjukkan muka mereka. Kabel rahsia ini telah memunculkan muka-muka yang boleh dikenali oleh dunia seperti Henry Kissinger, Zbigniew Brzezinksi dan Lord Carrington. Mereka ini dianggap sebagai jurufikir yang berkumpul di bawah Council of Foreign Relation di Amerika dan Royal Institute of International Affairs di United Kingdom. Lembaga jurufikir seperti NGO ini akan menjemput malaon dari dunia ketiga yang bercita-cita untuk menjadi presiden atau perdana menteri. Tugas badan pemikir ini ialah mentafsir dan menilai malaon-malaon dari dunia ketiga ini. Penilaian bukan berdasarkan apa yang ada di antara dua telinga maloan-malaon ini tetapi sama ada mereka ini akan bersedia untuk menjadi boneka yang setia untuk menjalankan dasar yang diperlukan oleh kabel rashia ini. Justeru, kita lihat apabila dasar penswastaan dianjurkan, maka semua malaon yang telah dilantik menjadi barua di dunia ketiga akan menjalankan dasar yang sama. Apabila dasar globalisasi diperkenalkan, maka malaon-maloan ini seperti burung kakaktua akan turut bersuara. Jika ada malaon ini yang cuba melawan seperti Noriega dari Panama atau Saddam, maka dengan sekelip mata mereka akan dilupuskan. Jika maloan ini sudah selesai tugasnya seperti Suharto, Marcos, Lol Nol atau Zia ul Haq, mereka akan diketepikan untuk malaon yang baru naik. Semua ini dirancang. Tidak ada yang berlaku tanpa perancangan. Hari ini sebenarnya tidak ada masalah kecairan. Apa yang berlaku, peralihan harta dan wang ringgit warga dunia masuk ke tangan para pemilik bank ini. Dolar yang terkumpul hari ini melebihi 17 trilion dolar. Dolar, emas dan pelbagai mata wang ini tersimpan di 27 buah negara pulau yang memiliki bank pesisir pantai. Negara seperti Bermuda, Cook Islands, Switzerland, Luxumbourg, Cayman Island dan termasuk Labuan adalah tempat tersoroknya harta ini. Buat ketika ini, di sinilah harta kekayan dunia sedang bersemayam.
Komentar : Leave a Comment »
Kategori : Uncategorized
Musliat Di Sebalik Kekayaan
18 05 2009| Kita sadar dan kita kena tau bahwasanya |
| Harta kekayaan datang daripada keringat manusia. Harta Qarun sekali pun terkumpul daripada hasil tenaga manusia. Menang loteri juga berpunca daripada duit manusia yang telah ditipu. Justeru semua harta kekayaan di duna ini hasil tenaga kerja manusia.
Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak. Tulang dan otak manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kebejatan dan kerusakan alam ini juga hasil kerja tangan manusia. Apabila manusia bekerja, dia melaburkan tiga perkara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga perkara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Elektrik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini. Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk – yang dimiliki oleh sesiapa pun tidak dapat tidak berpunca daripada tiga asas ini. Pak Tani ke sawah, dia membanting tulang, menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus-lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, memangkas pokok dan memilih buah. Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa, tenaga dan fikiran. Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat “di belakang semua kekayaan ialah jenayah”. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya-raya di dunia mendapat harta kekayaan hasil daripada merampas – tenaga, masa dan fikiran orang lain. Taukeh atau juragan yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Artinya tok peraih membeli dengan harga yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Juragan akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya nilai lebihan hasil daripada tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi. Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sehingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan – orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peluh Pak Tani. Si pabrik, pembungkus, si pengangkut, si pengiklan dan si Pengecer – semua ini orang tengah yang hidup kaya-raya di atas titik peluh Pak Tani. Orang-orang tengah ini berlegar-legar memuter-muter perniagaan untuk mendapat keuntungan maksimum. Justeru, pabrik beras jadi kaya, pengedar beras jadi kaya atau pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada di antara peniaga beras – di bursa saham Wall Street New York atau City of London – tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya-raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin, Pak Tani. Inilah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis apabila harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain. Mekanisme yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani digelar “pasaran” atau market – sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini dikawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri , si pengedar, si pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksimum. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal. Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh orang tengah atau lintah darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka buruk si lintah darat ini mereka memanggil diri mereka dengan gelar-gelar yang baik: Ahli perniagaan, usahawan, pemaju, pengimport, pengeksport atau pengedar. Hakikatnya mereka hidup di atas usaha orang lain. Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada sang kontraktor atau sang pemaju menjadi kaya-raya. Bukan pula bermakna si pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik mentari membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia mengimport buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah. Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si pemaju. Si pemaju sama seperti tok peraih akan menilai masa, tenaga dan fikrah buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si pemaju. Justeru si pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin. Mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal. Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si pemaju mendapat keuntungan yang maksimum. Rumah atau bangunan yang didirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu. Justeru terbukti si kontraktor dan pemaju jadi kaya-raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang digunakan lagi besar modal yang dapat dikumpulkan. Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang, maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan. Dalam konteks ekonomi kapitalis global, semua negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan. Hasil dari sistem ini, warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini dinilai dengan rendah, justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit. Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antarabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta. Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika ditaburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Kenyataan ini bohong. Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka. Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dan memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh tuan empunya modal atau pabrik. Sebagai buruh pabrik, kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas. Seperti Pak Tani di pedesaan yang hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana tok peraih beras dan tuan punya penggiling beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur-galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal-pemodal antarabangsa di bursa saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mandor yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berterusan. Mana mungkin pengedar, sang pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi mereka keuntungan maksimum dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja. |
Komentar : Leave a Comment »
Kategori : Uncategorized